Isnin, 1 Ogos 2011

Jenis-Jenis Mesin Larik


mesin larik

Mesin pelarik boleh dikelaskan kepada tiga kategori utama iaitu :

            i)          Mesin Pelarik Jentera / Enjin Piawai
Mesin pelarik jenis ini digunakan dalam kerja-kerja kejuruteraan am.  Ia boleh dilengkapkan dengan eksesori tambahan untuk kerja-kerja khas seperti melarik penirusan dan untuk kerja mencanal di mesin larik.  Pelarik jentera kecil yang boleh dipasang di atas bangku dikenali sebagai pelarik bangku / meja.  Satu lagi jenis pelarik jentera yang digunakan untuk kerja-kerja jitu dikenali sebagai pelarik jenis Tool-Room.

            ii)         Mesin Pelarik Pengeluaran
                        a)         Pelarik Turret
Mesin pelarik jenis ini digunakan dalam bengkel kejuruteraan pengeluaran yang memerlukan banyak komponen yang sama bentuk dan ukuran.  Berbagai-bagai jenis alat pemotong boleh dipegang pada satu alatan khas yang dipanggil turret.  Turret ini boleh dipusingkan dan mata alat yang sesuai itu diindeks untuk melakukan operasi tertentu.  Ini membolehkan kerja dilakukan dengan tidak terputus-putus untuk memasang atau menanggalkan mata alat.
                        b)         Pelarik Capstan
Mesin pelarik jenis ini hampir sama dengan mesin pelarik turret.  Perbezaannya ialah alatan turret itu dipasang pada satu landasan tambahan yang boleh bergerak bersendirian.  Kelebihannya yang lain ialah ulir boleh dipotong dengan menggunakan kepala acuan.
                        c)         Pelarik Automatik
Mesin jenis ini boleh dikendalikan tanpa pengendali.  Satu susunan kerja yang lengkap boleh dilakukan dengan cara automatik.  Biasanya mesin jenis ini ada dua tiang mata alat.  Satu tiang di hadapan paksi benda kerja dan satu lagi dibelakang paksi benda kerja.  Pada mesin separuh automatik, kerja memasuk dan mengeluarkan komponen dilakukan oleh seorang pengendali.
                        d)         Pelarik Kegunaan Khas
Pelarik jenis ini direkabentuk khas supaya boleh melakukan kerja-kerja khas sahaja.  Pada asasnya benda kerja itu akan berputar dan mata alat digerakkan secara linear supaya pemotongan boleh dilakukan.  Pelarik jenis ini digunakan untuk melarik roda keretapi, melarik aksel dan melarik menegak ( turret menegak ).

            iii)        Pelarik NC dan CNC
Mesin pelarik ini merupakan jenis mesin yang terbaru sekali.  Ia menggunakan komputer yang boleh menjalankan operasi-operasi dengan jitu dan ekonomi.  Alatan turret bulat pada mesin jenis ini membolehkan berbagai-bagai jenis mata alat itu dipasang dan dikendalikan.   


         

Tiada ulasan:

Catat Ulasan